Selasa, 03 April 2012

Cerita wartawan dari Malaysia Bertemu Ariel Peterpan di penjara

penulis (kiri) bersama wartawan dari Malaysia ketika menemuramah Ariel Peterpan di Rumah Tahanan Negara Bandung, Kebon Waru di Bandung, minggu lalu
DI mata kasar sesiapa sahaja yang berpeluang menjenguk Ariel di Rumah Tahanan Negara Bandung, Kebon Waru di Bandung, dengan mudah akan menelah hidupnya sangat ceria.
Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya setiap kali disapa.
Namun, jika berkesempatan duduk berbual lebih daripada 10 minit dengan vokalis utama band ternama Indonesia, Peterpan itu, pasti anda akan dapat merasakan betapa hidup di penjara bukan sesuatu yang wajar dikongsi penuh bangga dengan seluruh anggota masyarakat.
Sekalipun, berulang kali meluahkan rasa kesal terhadap kesilapan yang dilakukan, Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham tidak mampu mengundurkan waktu.
Kalau terlajak perahu, barangkali, ia masih boleh diundur, tetapi kalau sudah terlajak melakukan kesilapan dalam hidup, maka selamanya seseorang itu akan terus dihukum oleh masyarakat.
TernamaApa lagi bagi orang ternama dan masyhur seperti Ariel yang selalunya disifatkan sebagai role model.
Tetapi dek kerana nafsu, Ariel tersungkur menyembah bumi. Dia tidak lagi berada di puncak kemasyhuran, sebaliknya, hidup di sebalik tirai besi akibat silap sendiri.
Penulis berpeluang bersemuka dengannya di penjara berkenaan di Bandung hujung minggu lalu bersama tiga teman wartawan lain dari Malaysia.
Seperti peminat-peminat Ariel yang tidak putus-putus mengunjunginya di penjara, saya dan teman-teman turut diberi peluang bertemu Ariel untuk mengetahui kehidupannya di sana yang sudah hampir memasuki tahun kedua.
Sebagai mematuhi ketetapan penjara, kami tidak dibenarkan membawa kamera sekalipun telefon bimbit berkamera.
Mujur pihak yang mengatur pertemuan itu membawa kamera dan merakamkan pertemuan kami. Itupun tidak banyak foto yang dapat dikongsi.
Namun, ada beberapa hal menarik yang dikongsi oleh Ariel kepada rombongan kami tempoh hari termasuk pengajaran paling berguna menjadi banduan.
Kepada Ariel, hukuman yang sedang dijalaninya membuka ruang untuk dia berfikir dan kembali menilai kelemahan dirinya.
Sepanjang berada dalam tahanan, mindanya tidak pernah lekang daripada memikirkan erti kehidupan dalam penjara selain mengharapkan setiap individu menjadikan kesilapan yang dilakukan dalam hidup sebagai pengajaran paling berguna.
Hampir dua tahun hidup di penjara, apa yang sangat membuatkan Ariel bersyukur ialah, imannya kembali teguh terhadap kebesaran Allah.
Akibat terperangkap dengan dorongan nafsu dan kedangkalannya sebelum ini sehingga mengheret dia ke penjara, hukuman yang sedang dijalaninya membuka ruang berfikir yang lebih luas kepada Ariel.
BersalahPenghibur berusia 32 tahun yang didapati bersalah kerana terlibat dalam kes penghasilan video lucah itu mengakui, hidup dalam tahanan membawa dia kembali menginsafi perilaku silam yang telah menjahanamkan seluruh kehidupannya.
Justeru, kesempatan menghitung hari-hari pembebasannya kata Ariel, digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki kesilapan lalu.
"Rutin harian saya lebih teratur di sini. Solat saya terjaga, makan minum dan waktu rehat juga mengikut ketetapan penjara.
"Kalau dahulu semasa aktif menghiburkan orang, hal-hal ini sering saya abaikan," kata Ariel jujur.
Seperti yang disebut di peranggan awal, di mata kasar, Ariel mungkin terlihat ceria namun jauh di lubuk hati Ariel tidak dapat menyembunyikan betapa penjara seharusnya menjadi tempat terakhir yang mahu dikunjungi, jauh sekali untuk menghabiskan masa untuk satu tempoh yang panjang.
"Ada yang berkata pada saya sepertinya tempoh hampir dua tahun yang sudah saya lalui berlalu dengan pantas sekali.
"Itu kata mereka tetapi tidak pada saya. Terlalu lama rasanya hidup di sini (penjara). Namun apa yang mampu saya lakukan kalau ini sudah tertulis takdir hidup saya," kata Ariel meluahkan beban yang sudah tidak mampu dibendungnya lagi.
Sebagai orang ternama, Ariel tidak mampu menghindarkan masyarakat terus mengecam biarpun hakikatnya dia sedang menjalani hukuman setimpal dengan kesilapan yang pernah dilakukannya.
Pada masa sama, Ariel menjelaskan, persoalan mengenai kekesalan yang sering diajukan kepadanya mempunyai maksud yang sangat luas.
"Kesal itu sangat subjektif bagi sebahagian daripada kita. Hanya orang yang melakukan kesilapan seperti saya sahaja yang tahu apa itu maksud menyesal," kata Ariel.
Berkongsi pengalaman hidup dalam tahanan, tegasnya, ia menuntut tahap kesabaran yang tinggi.
Tanpa dinding kesabaran, Ariel tidak menolak ia boleh membawa kepada kehancuran dalam diri seseorang banduan itu.
Mujur katanya, dia berjaya melalui tempoh yang kritikal iaitu pada tiga bulan pertama tanpa sebarang halangan.
"Tiga bulan pertama di penjara fikiran saya benar-benar terganggu. Kalau selama ini saya dipuja ramai, tetapi di penjara kehidupan saya terputus dengan dunia glamor.
"Segala nikmat hidup ditarik oleh Tuhan dalam sekelip mata. Semuanya serba kekurangan. Namun apa kudrat yang saya ada selain daripada mensyukuri ruang yang masih diberikan kepada saya untuk terus bernafas," ujar duda kepada seorang cahaya mata itu lagi.
Mengambil kira tempoh dia mula ditahan oleh polis Indonesia sejak 11 Jun 2010, hukuman penjara sebenar yang perlu dilalui oleh Ariel hanya dua tahun 11 bulan.
Kes pengedaran video lucah Ariel dengan kekasihnya, Luna Maya dan Cut Tari pada tahun 2010 menggemparkan seluruh rakyat Indonesia selepas ia tersebar dengan cepat di Internet sehingga dapat diakses melalui telefon bimbit.
Fragmen hidup Ariel berubah secara total sejak dia mula ditahan polis Indonesia.
Daripada hidup dijulang peminat serta mendapat perhatian lensa kamera, namun hari ini gerak-geri kehidupannya dikawal sebagai orang bersalah.
Ariel mengakui, dia pasti akan dilabel sebagai orang gila oleh masyarakat seandainya masih belum kesal dengan kesilapan yang dilakukannya.
KetentuanKepada Ariel, mahu atau tidak, dia harus akur dengan ketentuan takdir yang semuanya berpunca daripada gejolak nafsu dan pemikirannya yang dangkal.
Selama berada dalam tahanan, penyanyi terkenal itu menganggap pengalaman yang dilaluinya memberikan rahmat yang bukan sedikit buatnya.
"Tiga bulan pertama di penjara fikiran saya benar-benar terganggu. Kalau selama ini saya dipuja ramai, tetapi di penjara kehidupan saya terputus dengan dunia glamor.
"Segala nikmat hidup ditarik oleh Tuhan dalam sekelip mata. Semuanya serba kekurangan.
"Namun apa kudrat yang saya ada selain daripada mensyukuri ruang yang masih diberikan kepada saya untuk terus bernafas," ujarnya meluah rasa syukur pada Ilahi.
Dari kaca matanya juga jelas terpancar bahawa dia melalui hari-hari yang sulit bersama pesalah-pesalah lain.
Mujur kerana dia orang terkenal, maka peminat-peminat setianya tidak pernah putus datang bertanya khabar Ariel.
Ariel mengakui, lara di hatinya terubat dengan kehadiran peminat, kaum keluarga dan sahabat memberi sokongan moral kepadanya.
"Alhamdulillah peminat masih memberi sokongan kepada saya biarpun saya sudah didapati bersalah," kata Ariel menyambung perbualan.
Di penjara itu juga, Ariel hanya ketawa besar apabila ditanya mungkinkah dia tersenarai sebagai banduan yang paling banyak menerima kehadiran tetamu.
"Ia pastinya begitu," ringkas ia mengiakan pertanyaan.
Sehinggakan pada satu peringkat, Ariel meminta jasa baik peminat-peminatnya tidak lagi mengunjunginya kerana sudah lelah menjawab pertanyaan demi pertanyaan.
Bukan dia tidak menghargai kehadiran mereka, sebaliknya, Ariel mahu menikmati masa tahanan dengan hati yang lapang.
Di penjara juga, dia masih berkarya dan lagu terbaru yang dihasilkan berjudul Dara sudah dipasarkan oleh syarikat rakaman PT Musica Studio's.
Lagu itu jelas Ariel, merupakan terjemahan kisah hidup pesalah-pesalah di penjara yang sama dengannya.
"Di penjara ini saya hidup bersama pesalah-pesalah lain yang terpaksa membiarkan isteri dan anak-anak di rumah tanpa kehadiran ketua keluarga.
"Ia adalah cerita hidup yang dilalui oleh pesalah-pesalah di penjara," jelas Ariel sambil memberitahu ada sebuah lagi lagu yang sudah siap dihasilkannya.
Sambil menghitung hari-hari pembebasannya, Ariel mahu lebih fokus kepada dirinya tanpa perlu mengambil peduli pandangan serong masyarakat.
Bahkan, sebaik dibebaskan kelak, perkara pertama yang mahu dilakukannya ialah pulang ke rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga.
Dia juga berhasrat untuk meneruskan kerjaya seni dengan aspirasi baru.

info :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm

Tidak ada komentar:

Posting Komentar